Search This Blog

Tuesday 15 January 2013

PERJUMPAAN PEGAWAI KANAN BERSAMA KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA

Salam semua ahli,
Satu perjumpaan di antara Presiden PERKASA Malaysia, Ahli Majlis Kerja, Presiden dan Setiausaha cawangan dengan Ketua Pengarah Kastam telah diadakan pada 15 Januari 2013 jam 3.00 petang bertempat di Bilik Persidangan Sri Rampai, Aras 3 Selatan, Ibu Pejabat. Persatuan bersyukur kerana di dalam kesibukan menjalankan tugas mentadbir jabatan Y.Bhg. Dato' Sri Khazali bin Hj. Ahmad sempat meluangkan masa bersama pegawai kanan jabatan untuk mendengar beberapa isu dan perkara untuk dibincangkan bersama. Beliau juga berasa gembira dan teruja kerana dapat bertemu dengan pegawai kanan khususnya Ahli Majlis Pusat dan wakil dari seluruh negara. Beliau menyatakan PERKASA sebagai NGO jabatan telah berperanan dengan baik dalam usaha membantu jabatan. Beliau mentafrifkan sebagai kumpulan elit dan segala pandangan, sokongan serta dokongan dari persatuan dapat membantu dari pelbagai aspek.
Dalam pada itu, Presiden PERKASA Malaysia, Sdr. Mohd Noor Yusoff dalam ucapannya pula merakamkan tahniah kepada JKDM kerana berjaya menambah pungutan hasil sebanyak lebih RM2 billion. Dengan kutipan hasil yang bertambah ini, Sdr. Presiden berharap agar pegawai jabatan mendapat imbuhan dari kerajaan diatas kejayaan ini kerana rekod 10 tahun yang lampau kerana JKDM belum pernah gagal dalam usaha untuk meningkatkan pungutan hasil.
Beberapa isu telah disentuh pada perbincangan tersebut dan antaranya ialah isu kenaikan pangkat bagi pegawai gred W44 ke W48 dan juga mengisi kekosongan jawatan bagi gred W52 dan W54. Pengurusan memaklumkan bahawa kertas cadangan telah dihantar ke JPA pada bulan Disember 2012. Ketua Pengarah Kastam menegaskan bahawa segala usaha serta tindakan yang cepat telah dilakukan tetapi atas sebab-sebab yang tertentu serta banyak lapisan yang perlu dilalui menyebabkan proses ini mengambil masa yang agak lama. Sehubungan dengan itu, Persatuan mencadangkan supaya sekiranya berhasil agar kesempatan di ambil bersempena dengan Hari Kastam Sedunia pada 26 Januari tahun ini dibuat pengumuman kenaikan pangkat pegawai kanan jabatan. PERKASA juga mencadangkan bagi mendapat keizinan dari jabatan untuk PERKASA membuat 'follow-up' dengan JPA. Dengan membina hubungan dan jaringan kerjasama ini, ia akan dapat membantu jabatan dalam melicinkan urusan tersebut. Pada dasarnya pihak pengurusan telah bersetuju dengan cadangan tersebut.
Isu-isu lain yang dibincangkan adalah elaun perkastaman, e-penempatan, penglibatan pewakas dalam mesyuarat Pengarah-pengarah Kastam Semalaysia dan penilaian prestasi. Dalam isu penilaian prestasi, Y.Bhg. Dato' Sri KPK menegaskan bahawa setiap mestilah ikhlas dan menyediakan laporan yang objektif berdasarkan prestasi. Beliau tidak menetapkan sebarang had markah dan ianya dipersetujui oleh Pengarah KPSM dan memaklumkan bahawa Panel akan menentukan jumlah markah.
Mengakhiri perbincangan, Dato' Sri KPK menasihatkan rakan supaya jangan membawa cerita negatif di dalam forum Sembang Kastam. Sekiranya ada masalah, berterus terang dengan persatuan kerana badan ini merupakan mata dan telinga jabatan.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam yang diadakan di Kelab Tasik Putrajaya.

Sekian, Wassallam.



No comments:

Post a Comment